GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi melakukan lebih banyak kajian untuk mengesan varian terbaharu virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian berkenaan perlu dilakukan supaya pihaknya mendapat maklumat dan mengenal sifat virus berkenaan.

"Ini satu peluang untuk kita kenal virus berkenaan, kalau kita kenal virus itu, maka kita boleh mencipta vaksin dan rawatan terhadap virus berkenaan.

"Di dalam tempoh enam bulan ini, kita sudah banyak belajar mengenalpasti sifat Covid-19 dan kaedah-kaedah untuk jalankan penyelidikan, vaksin dan rawatan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas berhubung kajian saintifik terbaharu yang menemui bukti kukuh terdapat varian terbaharu virus Covid-19 dan sudah tersebar dari Eropah ke Amerika Syarikat.

Mutasi baharu itu menjadikan virus berkenaan lebih mudah berjangkit, tetapi tidak memberi kesan lebih teruk kepada mereka yang dijangkiti, kata pasukan penyelidik dari Institut Imunologi La Jolla dan Konsortium Imunoterapi Koronavirus, California.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan kajian yang diterima genetik kod itu jika mempunyai perubahan, virus berkenaan akan merebak dengan lebih cepat.

Beliau berkata, sehubungan itu KKM sudah mengarahkan IMR melakukan lebih banyak kajian untuk mengenalpasti satu sifat diperoleh melalui kajian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:07 PM