GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MALAYSIA berada di tangga teratas dunia berhubung kemasukan rokok seludup selain mengakibatkan kerugian cukai eksais yang mencecah RM5.3 bilion setiap tahun.

Susulan itu, syarikat tembakau yang terulung di Malaysia British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) bertekad mahu menghentikan pasaran gelap rokok.

Pengarah Urusan BAT Malaysia Jonathan Reed berkata, pihaknya melancarkan kempen 'Hentikan Pasaran Gelap' bagi menonjolkan kesan negatif pasaran gelap rokok dan mengajak rakyat berkongsi pandangan mengenai usaha membanteras jenayah ini.

Beliau berkata, kesan negatif pasaran gelap rokok begitu meluas sehingga menjejaskan perniagaan sah dan kehidupan seluruh rakyat.

"Kami menghargai dan memuji usaha gigih semua agensi penguatkuasaan undang-undang sejak kebelakangan ini dan kami berharap usaha ini akan terus memberi tekanan kepada sindiket yang beroperasi dalam pasaran gelap rokok ini.

"Namun, tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mampu menyelesaikan ini. Perhatian yang lebih serius harus diberikan terhadap isu ini dan rakyat perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka.

"BAT mengambil pendekatan proaktif untuk tampil bersama membendung isu berkenaan sebelum ia bertambah parah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jonathan berkata, sebanyak 62 peratus daripada seluruh pasaran tembakau di negara ini dikuasai oleh sindiket penyeludupan rokok.

"Pasaran gelap rokok membentuk sebahagian daripada ekonomi gelap bernilai RM300 bilion yang terus menjejaskan pertumbuhan negara.

"Rakyat boleh mengambil bahagian dalam tinjau selidik supaya untuk memberikan pendirian mengenai isu ini serta berkongsi apa yang perlu dilakukan untuk membantu memulihkan ekonomi negara ini," katanya.

Beliau berkata, masyarakat boleh menyuarakan pandangan mereka menerusi satu tinjau selidik seluruh negara yang dijalankan secara dalam talian di www.stoptheblackmarket.com.my dan boleh berkongsi pendapat di https://www.facebook.com/stoptheblackmarket.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:42 PM