MUHAMMAD Shafee Abdullah. FOTO Saifullizan Tamadi.
MUHAMMAD Shafee Abdullah. FOTO Saifullizan Tamadi.
BERNAMA

TARIKH baharu perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dituduh menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak dan pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan ditetapkan pada 10 Ogos ini.

Peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, bahawa pihaknya memohon tarikh perbicaraan ditetapkan selepas dua permohonan anak guamnya untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan selesai.

Dua permohonan itu adalah melalui semakan kehakiman dan pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah.

"Permohonan semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 13 Julai ini dan pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah yang menolak permohonan Muhammad Shafee untuk menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 24 Julai ini," katanya pada pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah perkara itu.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 10 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarik perbicaraan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes itu selama 16 hari mulai 9 Mac lalu.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 3 Mac dan 29 Jun 2015, jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:14 PM