Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pengurusan kesnya, yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). FOTO BERNAMA
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pengurusan kesnya, yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke 26 Oktober ini kerana peguam utamanya, Harvinderjit Singh menghadiri pengebumian.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Harvinderjit menghadiri upacara pengebumian pengajarnya sebelum beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

"Pihak-pihak sudah bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan pada hari ini kepada 26 dan 27 Oktober depan. Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Muhammad Shafee terikat dengan kes lain," kata peguam itu pada prosiding perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung pada hari ini.

Sarah berkata, perbicaraan selama empat hari adalah memadai memandangkan hanya tiga lagi saksi akan dipanggil dan mencadangkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 8 dan 10 Disember ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan tarikh perbicaraan pada November dilapangkan dan menangguhkan perbicaraan pada hari ini selain menetapkan 26 Oktober untuk sambung bicara.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:46 PM