Muhammad Shafee.
Muhammad Shafee.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sepuluh saksi pendakwaan dijangka dipanggil pada perbicaraan peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin semasa pengurusan kes itu, hari ini.

Peguam Sarah Abishegam, yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu mahkamah tarikh perbicaraan kes itu boleh ditetapkan setelah selesai pendengaran dua permohonan anak guamnya untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Permohonan itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

"Kami mohon agar rayuannya diselesaikan dahulu sementara menunggu perbicaraan kes ini kerana ia berkaitan dengan kebebasan pendakwa.

"Tan Sri sedang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) buat masa ini dan ia sudah pasti membebankan jika beliau terpaksa mengendalikan kesnya dan kes Najib pada masa sama," kata peguam itu.

Dalam responsnya, Hakim Muhammad Jamil berkata tarikh bicara kes itu boleh ditetapkan dahulu memandangkan kes itu mengambil masa yang agak lama sejak ia mula didaftarkan pada 2018.

Afzainizam kemudian memaklumkan bahawa Sri Ram, yang juga pendakwa dalam kes Muhammad Shafee hanya bersedia bermula Mac 2021.

Mahkamah menetapkan 10 hari untuk perbicaraan kes itu mulai 7, 21 dan 28 Mei; 4 dan 11 Jun; pada Julai iaitu 1, 2, 22 dan 23 serta 6 Ogos.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 4:58 PM