PERKONGSIAN mengenai keluarga terbabit mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew di Facebook. FOTO Ihsan Facebook Ustaz Ebit Lew
PERKONGSIAN mengenai keluarga terbabit mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew di Facebook. FOTO Ihsan Facebook Ustaz Ebit Lew
Nurul Hidayah Bahaudin dan Redzuan Muharam

KETIKA insan lain berlindung daripada ancaman wabak Covid-19 dengan tinggal di rumah, lain pula kisah dilalui tiga beranak apabila terpaksa berteduh di atas jejantas.

Namun nasib pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka itu mendapat perhatian penceramah terkenal Ustaz Ebit Lew yang membantu keluarga berkenaan mendapatkan kediaman untuk disewa, semalam.

Menurut Ebit, dia tergerak hati untuk membantu kerana sedih selepas melihat gambar bersama coretan ringkas mengenai keluarga berkenaan yang dikongsikan seorang pengguna Facebook.

Katanya, pada awalnya dia pergi ke lokasi berkenaan dan membawa keluarga itu bermalam di kediaman bersebelahan rumahnya yang disewa khusus untuk meletakkan barangan sumbangan.

“Keesokan harinya (semalam), saya bantu mereka cari rumah sewa dan asalnya ada seorang pemilik kondominium menawarkan kediamannya untuk didiami secara percuma kerana dia berada di luar negara.

“Bagaimanapun ada halangan daripada jawatankuasa penduduk di kondominium yang tidak membenarkan keluarga berkenaan berpindah ke situ walaupun sudah mendapat izin daripada pemilik rumah.

“Bagi tidak merumitkan keadaan, saya usaha mencari rumah sewa dan akhirnya berjaya membawa mereka berpindah ke satu kediaman yang terletak di Selayang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ebit berkata, urusan itu berjalan lancar dan dia akan membantu membayar sewa bulanan rumah untuk keluarga berkenaan.

“Alhamdulillah, mereka sudah ada tempat berteduh dan saya bersyukur dapat membantu malah tersentuh melihat riak wajah anak pasangan itu sebaik menjejakkan kaki ke dalam rumah.

“Selagi termampu, saya akan cuba bantu mereka menjelaskan sewa bulanan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, beliau bertemu dengan Ebit ketika melawat lokasi sekatan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Isnin lalu.

“Isnin lalu, saya dimaklumkan mengenai keberadaan suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka berusia tiga tahun yang tidur di atas jejantas berkenaan.

“Saya difahamkan ketiga-tiga individu berkenaan berada di atas jejantas itu kerana diusir dari rumah oleh keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Arifai berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

“Namun belum sempat tindakan diambil, Ustaz Ebit Lew yang berhati mulia datang jam 11.35 malam untuk menghulurkan bantuan kepada suami isteri itu serta anak mereka.

“Anggota polis juga ada memberi bantuan makanan, susu dan lampin pakai buang kepada mereka sebelum dibawa oleh Ustaz Ebit Lew ke satu rumah sementara pada hari yang sama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 4:26 PM