KEADAAN kenderaan masing yang ditemui di dalam kawasan curam. Foto Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan masing yang ditemui di dalam kawasan curam. Foto Ihsan Bomba
Nor Farhani Che Ad


LELAKI maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya terjunam ke dalam kawasan curam di Jalan Kulim-Serdang berdekatan Ladang Sungai Ular di Kulim, hari ini.

Mangsa, Wan Syazwi Wan Ahmad Basharuddin, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam pada 7.50 pagi mengatakan ada berlaku kemalangan.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari Serdang ke rumahnya di Kulim pada 6 petang semalam.

"Bagaimanapun, Honda CRV yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan terus terjatuh ke dalam kawasan curam di tepi jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menaikkan mangsa dari kawasan terbabit sebelum mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 5:25 PM