Anggota bomba sedang bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 12.8 Jalan Bidor- Teluk Intan, pagi tadi, dekat sini. FOTO  Ihsan PDRM
Anggota bomba sedang bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 12.8 Jalan Bidor- Teluk Intan, pagi tadi, dekat sini. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Bidor: Lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya hilang kawalan dan terjunam dalam parit di Kilometer (KM) 12.8 Jalan Bidor-Teluk Intan dekat sini, 10.30 pagi, hari ini.

Mohamed Azman Khan Mohd Yusof Khan, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian mangsa memandu MPV jenis Inokom Matrix dalam perjalanan menghala ke Bidor.

"Kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan memasuki parit. Mangsa yang beralamat di Taman Aman, Jalan Sungkai parah dan disahkan maut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikerah ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 2:17 PM