PETUGAS perubatan memeriksa mangsa yang disahkan meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Ihsan JBPM.
PETUGAS perubatan memeriksa mangsa yang disahkan meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Ihsan JBPM.
Rosman Shamsudin


Tapah: Lelaki meninggal dunia selepas dipercayai cuba memotong tembaga dalam bilik elektrik dekat Bidor Sand Plant , Kampung Coldstream, Bidor , hari ini.

Mangsa berusia 27 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam yang kemudian melaporkan kejadian kepada pihak polis pada 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang memakai baju hijau dan berseluar jeans ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam bilik elektrik itu.

"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong tembaga dan pemeriksaan lanjut oleh petugas perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, terdapat kesan terbakar pada bahagian perut mangsa dan semakan rekod kesalahan lampau mendapati mangsa mempunyai lapan kesalahan jenayah termasuk narkotik.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:40 PM