LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Rosman Shamsudin


Tapah: Seorang penyanyi dan pelakon 80-an turut dipanggil untuk membantu siasatan kerana dipercayai menghadiri majlis sosial di ladang dekat Kampung Poh, Bidor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, selain penyanyi terkenal itu, terdapat seorang lagi penyanyi dan pelakon terbabit dalam majlis sosial berkenaan.

Katanya, penyanyi dan pelakon berkenaan sudah tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, pagi tadi untuk memberi keterangan lanjut berhubung kejadian terbabit.

"Penyanyi terkenal yang dipercayai turut serta dalam majlis sosial berkenaan dijangka hadir ke IPD Tapah petang ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk penyanyi terkenal kerana menyertai majlis sosial dipercayai berlaku di sebuah ladang dekat Kampung Poh, Bidor.

Ini berikutan pihak polis mengesan penularan gambar majlis itu di Facebook (FB) kira-kira 2 petang semalam.

Majlis berkenaan membabitkan selebriti tempatan dan beberapa individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Melalui gambar tular yang dirakam pada 24 Jun lalu berkenaan, pihak polis mendapati tiada penjarakan fizikal selain ada juga tidak memakai pelitup muka.

Berita berkaitan

  • Sertai majlis sosial di ladang, penyanyi terkenal dipanggil polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:26 PM