ZULKARNAIN berniaga roti canai berharga RM1 di Api Api Pontian. FOTO Ihsan Zulkarnain Sahadi
ZULKARNAIN berniaga roti canai berharga RM1 di Api Api Pontian. FOTO Ihsan Zulkarnain Sahadi
Mary Victoria Dass

Pontian: "Rutin harian saya selain menjual roti canai adalah untuk mencari besi buruk demi menampung perbelanjaan keluarga termasuk sebahagian kos rawatan dialisis isteri," kata peniaga roti canai, Zulkarnain Sahadi, 51.

Menurutnya, berpegang kepada konsep bersedekah tidak semestinya tunggu hingga kaya raya, dia menjual roti canai pada harga RM1 walaupun berdepan dengan isu kenaikan harga tepung dan minyak masak.

Katanya, dia yang berniaga di hadapan Taman Semarak, Api Api di sini, bersyukur kerana masih mampu menjual roti canai pada harga itu walaupun ada cadangan kenalan supaya menaikan harga roti canai kepada RM1.20 atau RM1.50 sekeping.

Zulkarnain berkata, minuman juga dijual dengan harga RM1 segelas, jika ditambah ais jadi RM1.50.

"Saya berniaga bermula 6.30 pagi hingga 11 pagi dan dibantu tiga anak termasuk anak sulung lelaki dan dua anak perempuan.

"Alhamdulillah, saya masih dapat bertahan walaupun ketika ini berlaku kenaikan harga barangan asas seperti tepung dan minyak masak, namun rezeki saya untuk keluarga seramai tujuh orang masih ada.

"Pelanggan yang kebanyakannya adalah penduduk kampung selain kawasan perumahan terutama warga emas.

"Mereka menggemari roti canai yang dijual saya kerana ia kurang berminyak, malah ada juga pelanggan dari Singapura singgah di kedai kami pada hujung minggu ketika dalam perjalanan ke Kukup mahupun Batu Pahat," katanya.

Zulkarnain berkata, dia mengakui keuntungan yang diperoleh hasil menjual roti canai adalah sekadar cukup makan apabila perlu dikongsi bersama tiga anak, namun dia bersyukur kerana dapat berkongsi ilmu berniaga roti canai kepada cahaya matanya itu.

Menurutnya, sekurang-kurangnya mereka dapat mempelajari ilmu menebar roti dan hidup berdikari pada masa depan serta beramal sambil berniaga.

"Saya mengekalkan harga roti canai RM1 kerana fikir ada yang hidup lebih susah daripada saya terutama pada setiap hujung bulan bajet mereka semakin kurang.

"Pelanggan mengunjungi kedai saya gembira kerana dapat menikmati sarapan termasuk minuman dengan harga RM2.

"Selain kari kacang dal, sardin juga menjadi kegemaran penggemar roti canai.

"Saya menjual roti canai telor bawang dengan harga RM2, roti sardin pada RM3, roti sarang burung (RM3), roti bom (RM1.50), roti tisu (RM2) dan murtabak pad harga RM3.50," katanya yang menggunakan tepung sebanyak 15 hingga 16 kilogram sehari selain menjual roti canai sejak 20 tahun lalu.

Zulkarnain berkata, pada waktu petang pula, dia mula mencari besi buruk di sekitar kawasan berkenaan bagi mengumpul wang untuk menampung sebahagian kos rawatan dialisis buah pinggang bagi isterinya tiga kali seminggu.

Menurutnya, isterinya, Nordiana Esa, 50, menjalani rawatan dialisis sejak dua tahun lalu di sebuah pusat dialisis berhampiran.

Katanya, kos rawatan dialisis adalah RM330 (satu sesi) namun pihaknya bersyukur Majlis Agama Islam Johor (Maij) menampung sebahagian kos itu.

"Harga jualan besi buruk juga tidak tetap dan kebiasaannya saya menjual selepas kutipan selama tiga hari.

"Kadang-kadang saya memperoleh hasil jualan antara RM20 hingga RM30 sehari.

"Walaupun pendapatan menjual besi buruk tidak banyak, sekurang-kurangnya saya sudah berusaha dan memotivasi anak bahawa sekiranya mahu berjaya perlu berusaha lebih.

"Saya bersyukur kerana menyedari aktiviti saya mengumpul besi buruk, segelintir pelanggan kedai roti canai saya juga menyumbang barangan bagi membolehkan saya menambah pendapatan keluarga selain menyara anak bongsu 13 tahun yang kasih bersekolah," katanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pontian di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 3:22 PM