PERMANDANGAN Kampung Lemoi, Pos Lemoi di Cameron Highlands pada 2017. Menara telekomunikasi sedang didirakan di Pos Lemoi. FOTO arkib NSTP
PERMANDANGAN Kampung Lemoi, Pos Lemoi di Cameron Highlands pada 2017. Menara telekomunikasi sedang didirakan di Pos Lemoi. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kemudahan telekomunikasi di perkampungan Orang Asli di negara ini sentiasa dipertingkat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan mereka, khususnya generasi muda, tidak ketinggalan dalam era digital.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memaklumkan, 61 menara telekomunikasi dibangunkan dan memanfaatkan lebih ramai masyarakat Orang Asli di seluruh negara sehingga Oktober lalu.

"Terkini, lapan menara sedang dibangun dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

"Jumlah ini termasuk menara di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau di Cameron Highlands, Pahang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands dinaik taraf daripada menggunakan teknologi 'Very Small Aperture Terminal' (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G.

"Sembilan daripadanya termasuk di dalam kawasan Pos Menson siap dibina pada Oktober 2019 dan selesai dinaik taraf kepada liputan 4G pada 5G November lalu.

"Malah, Ketua masyarakat telah ditemui oleh SKMM pada 4 Disember lalu di Pos Menson untuk mendapat maklum balas kualiti pengalaman selepas penambahbaikan serta mendapat maklum balas keperluan bagi kampung yang berdekatan.

"Penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi kawasan Cameron Highlands akan giat ditingkatkan seperti yang dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)," katanya.

Menurutnya, usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi kepada perkhidmatan 4G akan membantu masyarakat Orang Asli di Pos Menson serta kampung sekeliling menikmati capaian Internet yang lebih baik.

"Ia dapat menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi yang semakin meningkat.

"Dengan terbinanya menara telekomunikasi, masyarakat Orang Asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar.

"Mereka boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar," katanya

Akuinya, sebagai badan yang bertanggungjawab, SKMM akan memastikan segala perancangan yang diatur dalam pelan JENDELA akan berjaya merapatkan jurang digital yang wujud antara masyarakat bandar, pinggir bandar dan luar bandar di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu Dewan Rakyat, 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 perkampungan Orang Asli di seluruh negara bermula pada suku kedua 2021 melalui pelan JENDELA fasa 1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 11:48 AM