PEGAWAI SKMM Mohammad Farhan menjalankan ujian liputan. FOTO ihsan SKMM
PEGAWAI SKMM Mohammad Farhan menjalankan ujian liputan. FOTO ihsan SKMM
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan kerajaan Kedah untuk menyantuni wakil penduduk di lima kampung yang berdepan masalah ketiadaan rangkaian komunikasi.

Lima kampung itu ialah Taman Bunga Raya, Taman Raya Indah, Taman Raya Murni, Kampung Padang dan Kampung Nesa.

SKMM dalam kenyataan media hari ini berkata, tindakan itu susulan laporan Harian Metro dan Buletin TV3 pada 28 November lalu mengenai 8,000 penduduk berdepan masalah ketiadaan rangkaian komunikasi.

"Untuk makluman, SKMM sudah memasukkan perancangan pelaksanaan struktur menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sebagai langkah penyelesaian bagi menambah baik kualiti liputan di lokasi aduan.

"Pembinaan menara komunikasi baharu itu dijangka siap dalam tempoh setahun," katanya.

Bagi penyelesaian interim, pihak penyedia perkhidmatan turut diminta untuk menjalankan pengoptimuman di menara komunikasi sedia ada dalam masa seminggu bagi menambah baik kualiti liputan di lokasi aduan.

"SKMM akan sentiasa memantau pelaksanaan kerja pengoptimuman yang dijalankan oleh pihak penyedia perkhidmatan dan akan memastikan struktur menara komunikasi baharu yang sudah dirancang dapat dilaksanakan dengan segera apabila dimuktamadkan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 10:30 AM