GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERLIS membenarkan ibadah korban dilaksanakan di negeri ini pada Aidiladha tahun ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagaimanapun pelaksanaannya mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Ibadah Korban adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP khas yang bakal ditetapkan tidak lama lagi.

"Begitu juga dengan Solat Aidiladha dibenarkan untuk dilaksanakan dan ia turut tertakluk kepada peraturan yang akan ditetapkan," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau, hari ini.

Titah baginda, mulai Sabtu ini juga ruangan solat di masjid akan dibuka sepenuhnya baik termasuk di bahagian perkarangan masjid sekiranya ruangan solat utama tidak mencukupi bagi memuatkan jemaah berapa.

"Jawatankuasa Kariah Masjid hendaklah memastikan terdapat ruangan solat di kawasan luar masjid sekiranya ruangan sedia ada tidak mencukupi.

"Kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan pengekalan SOP keselamatan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan selain melaksanakan penjarakan sosial. Pelaksanaan kuliah berkenaan oleh Guru Takmir dan Guru Majlis akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)," titah baginda.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan umat Islam di negara ini dibenar menjalankan ibadat korban pada Aidiladha hujung bulan hadapan.

Bagi Wilayah Persekutuan, ia hanya dibenarkan di masjid, surau atau kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa, manakala di negeri lain, tertakluk kepada Majlis Agama Islam masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 11:38 AM