TOSRIN Jarvanthi. FOTO arkib NSTP
TOSRIN Jarvanthi. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Tiada kluster membabitkan ibadah korban dilaporkan di negeri ini sepanjang Aidiladha lalu, sekali gus menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) korban yang ditetapkan berkesan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, SOP ibadah korban terbabit dirangka dengan mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan mendapat perkenaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Ibadah korban pada tahun ini berjaya dilaksanakan dengan 6,037 ekor haiwan ibadah korban disembelih di 164 pusat sembelihan yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Proses sembelihan, melapah, memotong dan membungkus daging dilakukan di pusat sembelihan. Jawatankuasa masjid dan surau serta penganjur ibadah korban akan terus mengedar daging yang telah disiap dibungkus kepada mereka yang layak menerima agihan daging korban," katanya ketika menjawab soalan Najib Lep (PAS- Bukit Pasir) berhubung SOP sembelihan korban pada Hari Raya Korban pada sesi soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) meninjau 30 pusat sembelihan di negeri ini bermula 10 hingga 22 Julai lalu bagi memastikan semua SOP ibadah korban dipatuhi.

Katanya, pusat sembelihan yang dilawat itu terletak di Kulai, Gelang Patah, Johor Bahru, Ulu Tiram, Pontian dan Kota Tinggi.

"Bagi memastikan pusat sembelihan patuh SOP ibadah korban sepenuhnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain JAINJ,melakukan pemantauan sebelum dan selepas ibadah korban dilaksanakan.

"Adalah disyorkan penternak ketika wabak ini, tidak hanya menumpukan jualan semasa ibadah korban tetapi perlu kreatif melihat pasaran tempatan yang keperluannya masih tinggi, bahkan terpaksa ditampung bekalan daging import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 11:17 AM