PENGARAH Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman (kiri) berbual dengan wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Febi Khaira (kanan) dan nelayan warga Indonesia yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas terjatuh ke dalam laut di 8 batu nautika selatan Pulau Jarak, Lumut, 21 November lalu di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PENGARAH Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman (kiri) berbual dengan wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Febi Khaira (kanan) dan nelayan warga Indonesia yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas terjatuh ke dalam laut di 8 batu nautika selatan Pulau Jarak, Lumut, 21 November lalu di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


TIGA nelayan warga Indonesia yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas terjatuh ke dalam laut di 8 batu nautika selatan Pulau Jarak, Lumut, pada 21 November lalu, diserahkan kepada wakil kedutaan negara berkenaan, hari ini.

Majlis penyerahan tiga nelayan terbabit iaitu Ahmad Tohir Sharifudin, 31; Saiful Muamat Jen, 24 dan Safarman Damrah, 29, dilakukan Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman.

Mereka diserahkan kepada wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Febi Khaira di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut.

Shahrizan berkata, bot dinaiki tiga nelayan terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut pada 9.30 malam, hari kejadian.

Menurutnya, tiga nelayan itu berasal dari Tanjung Balai, Asahan keluar ke laut sejak 15 November lalu dan selain mereka dipercayai bot berkenaan turut dinaiki enam individu lain yang berjaya melarikan diri daripada ditahan APMM.

“Sebaik menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Gagah, bot berkenaan cuba melarikan diri bagi mengelak daripada diperiksa pihak berkuasa.

“APMM terpaksa mengejar bot berkenaan sehingga dua kali berlaku pergeseran antara KM Gagah dan bot nelayan itu dan dalam masa yang sama kru bot terbabit didapati membuang beberapa objek ke laut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut, hari ini.

Katanya, pihaknya turut memberi arahan supaya bot berkenaan berhenti dan susulan itu tiga awak-awak kapal terbabit mendakwa bertindak terjun ke laut untuk mengelak daripada ditahan.

“APMM kemudian menyelamat tiga nelayan terbabit dan dibawa ke pejabat untuk tindakan lanjut serta diberikan rawatan sewajarnya dan mereka berada dalam keadaan baik,” katanya.

Menurutnya, biarpun tiga nelayan terbabit mendakwa objek yang dibuang itu adalah jaring dan alatan perikanan tetapi APMM percaya ada antaranya adalah barangan yang diseludup masuk ke negara ini

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang dilakukan kerana tiada bukti dan penemuan barang bukti secukupnya yang boleh disabitkan kesalahan terhadap mangsa.

“Bagaimanapun, APMM mengesyaki selain menangkap ikan mereka turut melakukan aktiviti penyeludupan berdasarkan faktor saiz bot yang lebih besar kerana sebelum ini tangkapan yang dibuat terhadap nelayan Indonesia hanya membabitkan bot kecil dan tradisional.

“Justeru, APMM berharap pihak kedutaan Indonesia dapat menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini memandangkan bot berkenaan juga sudah berada di negara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 1:50 PM