ANTARA penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


BUKAN setakat disaman, seramai 29 penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan mereka sejauh lima kilometer (km) ke Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemuanya ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Pencegahan Jenayah di Persiaran Mahogani, Kota Damansara, bermula 5 petang hingga 7 malam.

Katanya, seramai 32 individu diperiksa, yang mana 29 ditahan dan motosikal disita serta dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Damansara.

"Daripada jumlah itu, 23 disaman kerana pelbagai kesalahan, manakala enam lelaki berusia 17 hingga 21 tahun ditahan kerana memandu secara melulu dan merbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, tumpuan utama operasi ini untuk membanteras dan mencegah aktiviti samseng jalanan yang menunggang motosikal secara melulu sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:57 PM