SITUASI banjir yang pernah berlaku di Kampung Pulau kelapa, Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
SITUASI banjir yang pernah berlaku di Kampung Pulau kelapa, Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar & Hassan Omar


HUJAN lebat kira-kira satu pagi ini menyebabkan Kampung Gelam, Tanjung Kling dan Pulau Kelapa, Peringgit dilanda banjir kilat.

Seramai 20 orang dari tiga keluarga di Kampung Gelam terjejas apabila kediaman dinaiki air kira-kira jam 7 pagi susulan hujan berterusan sejak 5.30 pagi.

Penduduk, Roslan Hassim, 48, berkata dia menerima panggilan daripada ibunya yang meminta bantuannya memindahkan pelbagai perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi kira-kira jam 7.10 pagi.

"Saya bergegas ke rumah ibu untuk membantu memindahkan barangan ke tempat tinggi bagi menyelamatkannya daripada tenggelam dalam air setinggi kira-kira 0.3 meter.

"Banjir kilat seperti ini sudah biasa berlaku setiap kali hujan lebat kerana longkang kecil dan tidak mampu menampung aliran air dari kawasan yang lebih tinggi," katanya.

Manakala penduduk Pulau Kelapa, Pon Wahab,67 berkata, hujan lebat selepas solat Subuh menyebabkan rumahnya dimasuki air terutama di bahagian dapur.

Katanya, banjir yang kerap berlaku menyebabkan dia tidak menyimpan barangan yang banyak tambahan dia hanya tinggal seorang diri di rumah pusaka.

Menurutnya, air longkang berhampiran Taman Desa Baru yang melimpah ke kampung berkenaan dikatakan antara punca kejadian banjir kilat yang berlaku.

"Apapun saya bersyukur air semakin surut selepas beberapa jam berikutan hujan lebat yang semakin reda.

"Malah kerja mencuci dapur juga lebih mudah berikutan saya tidak mempunyai perabot atau barangan berharga termasuk tiada mesin basuh atau barangan elektrik yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 1:06 PM