UMMI Baizura (gambar kecil) maut selepas kereta Honda City dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabur,  dekat Padang Kubu, Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
UMMI Baizura (gambar kecil) maut selepas kereta Honda City dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Padang Kubu, Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


WANITA maut selepas kereta dipandu suaminya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabur di Padang Kubu, dekat Chukai, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, Ummi Baizura Rahmat, 28, berasal dari Sungai Tong, Setiu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dalaman badan.

Bagaimanapun, suaminya, Mohd Taquddin Ramli, 32, dan bayi perempuan mereka, Nurhafiya Aufa Muhd Taquddin, 2, cedera ringan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda City dipandu Mohd Taquddin dipercayai terbabas ke laluan kanan jalan sebelum terhumban ke dalam cerun sedalam kira-kira empat meter di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum pegawai kesihatan sebuah klinik kesihatan berhampiran tiba dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang di Johor manakala suaminya bekerja di tempat sama.

“Mangsa sebelum ini pulang bercuti di rumah keluarganya di Setiu dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah keluarga suaminya di Cherul, Kemaman,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:22 PM