RAKAMAN video yang tular menunjukkan labu tanaman Izzat Amir tidak dapat dipasarkan. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular menunjukkan labu tanaman Izzat Amir tidak dapat dipasarkan. FOTO tular
BERNAMA

'KUASA tular' di media sosial menjadi `penyelamat' kepada petani orang kurang upaya (OKU), Izzat Amir Adam yang buntu untuk memasarkan lambakan buah labu yang diusahakannya.

Izzat Amir, 29, yang mengusahakan tanaman labu di tanah seluas kira-kira satu hektar di Nenasi di Pekan berkata, buah labu itu tidak terjual ekoran pembeli utama mengurangkan jumlah pembelian.

Pemuda itu juga berdepan masalah untuk memasarkan sendiri buah labu itu kerana tidak mempunyai kenderaan sesuai, sehingga seorang ahli keluarganya mencadangkan supaya dirinya membuat video 'iklan' di media sosial.

"Alhamdulillah, video itu tular dan ramai yang mahu membantu membeli. Saya tidak menyangka ramai yang prihatin, malah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga membeli sebanyak tujuh tan labu semalam.

"Sekarang saya masih mempunyai kira-kira 20 tan labu untuk dijual dan saya harap dapat dihabiskan dalam selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan sebelum buah menjadi busuk," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Izzat Amir yang kehilangan lima jari kanan akibat kemalangan semasa menggunakan mesin menuai padi empat tahun lalu berkata, buah itu hasil tanaman yang dilakukan pada Mac lalu dengan jangkaan dapat memperoleh hasil sekitar RM5,000.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka tanaman itu 'begitu menjadi' apabila memperoleh sekitar 85 tan labu berbanding sebelumnya yang biasanya sekitar 30 tan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 8:29 PM