HISAMUDDIN menyampaikan ucapan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, di Mandahan, Kimanis. FOTO EDMUND SAMUNTING
HISAMUDDIN menyampaikan ucapan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, di Mandahan, Kimanis. FOTO EDMUND SAMUNTING
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah


Kimanis: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mendakwa pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijadualkan bermula Jun depan boleh mengancam keselamatan negeri ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu mendakwa pengeluaran dokumen baharu untuk warga asing bagi menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan sijil banci itu sangat berkait rapat dengan isu keselamatan yang dihadapi Sabah.

Jelasnya, kebimbangan terhadap pelaksanaan PSS seperti yang hangat dibincang dan disuarakan pelbagai pihak ketika ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Banyak yang sudah disuarakan dan dibentang oleh ramai pihak di Sabah tapi mungkin ramai juga tak perasan bahawa isu keselamatan itu adalah sesuatu yang kita lalui seperti berlaku di Lahad Datu dulu (insiden pencerobohan pengganas Sulu pada 2013).

“Sebab itu kalau kita tiada kaedah untuk tapis dan tiada struktur untuk memikirkan perkara yang mungkin boleh terjadi dan kalau berlaku sudah terlewat, saya bimbang sesuatu keputusan yang tak diperincikan secara mendalam akan membawa kesan yang bahaya untuk Sabah dan rakyat negeri ini.

“Sebab itu penting kalau PSS ini adalah satu isu yang hangat dibicarakan di Kimanis. Bermakna bahawa keputusan orang Kimanis ini juga akan membawa suara Sabah secara keseluruhannya dalam isu nasional seperti PSS,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mandahan, di sini, malam tadi.

Menjawab dakwaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengenai PSS yang sebenarnya dimulakan oleh BN, bekas Naib Presiden UMNO itu, menegaskan perkara itu adalah tidak benar.

“Saya rasa kalau dimulakan oleh BN ini akan membawa kesan negatif dan bantahan orang Sabah pada masa itu dan kalau ia dimulakan BN dulu apa nak bangkitkan sekarang. Perkara yang dimulakan masa BN dia tangguhkan, diubah tapi benda macam ini, dapat bantahan dia tuduh kita juga.

“Pemikiran mereka masih lagi pembangkang, sebab itu dia tuduh kita macam-macam, tapi sudah dua tahun mereka memerintah, takkan ini pun dia nak tuduh kita. Jadi kalau itu dimulakan oleh BN, maknanya dia setuju dengan apa yang dibuat BN,” katanya.

Hishamuddin turut mempersoalkan kenapa baru sekarang isu itu ditimbulkan sedangkan ia dicadang oleh jawatankuasa selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing Sabah pada 2016.

“Apa faedah yang mereka dapat. Ini pertama kali mereka kata ia adalah yang baik dibuat oleh BN, tapi bagaimana pula dengan perkara lain yang mereka tidak peduli dan salahkan kita (BN) kerana buat sesuatu yang salah,” katanya.

Tambahnya, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan serta terbabit secara langsung dalam menangani insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013, beliau menekankan PSS bukan isu kecil kerana membabitkan masa depan rakyat negeri ini.

Terdahulu, dalam ceramahnya, Hishamuddin mendakwa Menteri Pertahanan sekarang, Mohamad Sabu, seolah-olah tidak memahami keperluan isu keselamatan di Sabah kerana gagal menjelaskan secara terperinci perancangan kerajaan dalam mengukuhkan keselamatan negeri ini menerusi kertas putih pertahanan negara yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 2:17 PM