LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Muhaamad Hafis Nawawi


ORANG ramai dinasihatkan menggunakan pengimbas suhu yang menepati piawaian Sirim Berhad (Sirim) bagi bacaan tepat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, alat pengimbas suhu juga perlu standard.

Katanya, ketika terdapat pelbagai jenis pengimbas suhu dijual dengan harga serendah RM40 hingga RM300 menyebabkan ada yang tidak menepati piawaian sehingga bacaannya tidak tepat.

"Cuba bayangkan jika bacaannya tidak tepat dan orang yang mempunyai suhu yang melepasi tahap normal dibenarkan masuk ke dalam premis.

"Ia berbahaya, maka penggunaan pengimbas suhu badan perlu diwajibkan dan mendapat kelulusan Sirim sebelum dipasarkan," katanya.

Beliau mengulas laporan eksklusif Harian Metro semalam berhubung penggunaan pengimbas suhu badan yang meluas ketika pandemik Covid-19.

Laporan khas muka depan itu mendapati lambakan pengimbas murah dan tidak mengikut piawaian di pasaran, sekali gus memungkinkan bacaan tidak tepat dalam usaha mengawal pandemik maut itu.

Malah, ada pengeluar ghairah mengaut keuntungan dengan menipu meletakkan cip di dalam pengimbas suhu digital infra merah untuk memaparkan bacaan suhu badan manusia secara tetap dan automatik ketika proses imbasan dilakukan.

Mohd Yusof berkata, pembelian alat pengimbas suhu yang murah juga mungkin tidak berkualiti sehingga bacaannya tidak tepat.

"Sekarang alat ini sudah menjadi satu keperluan dan lebih elok ia distandardkan supaya menepati piawaian sebelum dijual di pasaran.

"Apabila ia diwajibkan melepasi piawaian maka KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) boleh menggunakan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Sementara itu, KPDNHEP akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) berkaitan alat pengimbas suhu tidak mengikut piawaian.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, maklumat yang sahih diperlukan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut beberapa akta di bawah bidang kuasa agensi itu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan membeli alat pengimbas suhu daripada pihak yang ada autoriti.

"Jangan beli daripada pihak yang tidak sah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita berkaitan

'https://www.hmetro.com.my/utama/2020/06/589166/pengimbas-suhu-cap-ayam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 1:40 PM