Rosol Wahid semasa program Tinjauan Pematuhan Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Matt Barber Shop. FOTO GHAZALI KORI
Rosol Wahid semasa program Tinjauan Pematuhan Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Matt Barber Shop. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Rabiul Zulkifli


"JIKA terbeli pengimbas suhu digital yang murah daripada harga pasaran, pasti ia barangan 'cap ayam'," kata Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata, KPDNHEP maklum berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan susulan.

"Buat masa sekarang, kami hanya boleh menasihati peniaga dan pengguna alat pengimbas suhu digital itu supaya membelinya daripada kedai yang memang sah dan diakui membekal alat berkenaan.

"Jangan beli daripada penjual yang tidak sah dan pastikan alat pengimbas itu mempunyai pengesahan Sirim Berhad (Sirim) bagi memastikan ia berfungsi dengan baik," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan pada Program Tinjauan Timbalan Menteri KPDNHEP bersama Media Terhadap Pematuhan dalam Perintah PKPP di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Laporan Harian Metro berhubung alat pengimbas suhu digital produk murahan 'cap ayam' yang dijual dan diguna pakai sekadar memenuhi syarat yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP), semalam.

Rosol berkata, KPDNHEP tidak mempunyai peraturan khusus untuk kes berkaitan alat pengimbas suhu digital produk murahan itu.

"Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedai atau pembekal yang menjual alat tidak berkualiti itu boleh melaporkannya kepada KPDNHEP untuk tindakan.

"Biarpun banyak kes dilaporkan di media arus perdana mengenai penjualan dan penggunaan alat pengimbas digital produk murahan itu namun KPDNHEP tidak menerima sebarang laporan mengenainya," katanya.

Beliau berharap semua pihak memainkan peranan dalam menanggani isu perjualan alat pengimbas digital produk murahan itu.

"Tolong jangan beli alat pengimbas digital yang berharga sangat murah berbanding harga pasaran kerana ia pasti barangan yang tidak berkualiti.

"Tidak mencapai matlamat yang ditetapkan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya alat pengimbas digital itu tidak berfungsi seperti sepatutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 3:50 PM