Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENGELUARAN caruman daripada akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Lestari berjaya meningkatkan aliran tunai dalam ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan itu tepat bagi memastikan ekonomi negara dapat bergerak selepas banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup sementara ekoran Covid-19.

Menurut beliau, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir Mac lalu tepat pada masanya bagi membolehkan rakyat menggunakan wang caruman maksimum RM500 sebulan selama setahun untuk berbelanja.

"Buat masa ini, RM1.9 bilion caruman dikeluarkan pencarum setiap bulan selama setahun.

"Selepas setahun, program ini akan berakhir dan kerajaan berharap ekonomi akan semakin pulih," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias.

PENCARUM KWSP membuat permohonan pengeluaran i-Lestari KWSP. FOTO NSTP
PENCARUM KWSP membuat permohonan pengeluaran i-Lestari KWSP. FOTO NSTP

Dalam pada itu, kerajaan optimis ekonomi negara semakin pulih menjelang suku keempat tahun ini selepas banyak sektor ekonomi kembali dibuka.

"Suku pertama dan kedua, ekonomi negara perlahan disebabkan Covid-19 dan kini pada suku ketiga ia semakin baik selepas banyak sektor kembali dibuka.

"Kerajaan menjangkakan suku keempat akan lebih baik namun ia masih bergantung kepada ekonomi dunia," katanya.

Bercakap mengenai Pelaksanaan 40 inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), negara tidak memerlukan suntikan bon asing kerana masih dapat melakukan pinjaman di dalam negara.

Katanya, defisit negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan Penjana dengan unjuran meningkat antara 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding 3.4 peratus seperti jangkaan Bank Negara sebelum ini.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 4:48 PM