SEORANG pengguna membuat permohonan pengeluaran i-Lestari KWSP, awal bulan ini. FOTO Asyraf Hamzah
SEORANG pengguna membuat permohonan pengeluaran i-Lestari KWSP, awal bulan ini. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

SEHINGGA 17 April, 2020, sebanyak 1.5 juta daripada 2.8 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan, melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta bagi bulan Mei 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Melalui permohonan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi.

Dalam perkongsian laporan kedua Pencapaian Prihatin - Laksana di laman Facebook beliau, Zafrul berkata, permohonan tersebut diharap dapat meringankan beban mereka ketika negara menghadapi kesulitan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.

Beliau berkata, enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 bilion telah bermula, iaitu moratorium, i-Lestari, BPN dan subsidi upah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) di bawah KWSP akan dibuka untuk permohonan mulai 24 April 2020.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk PKS yang layak menangguhkan caruman majikan KWSP. Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 billion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa PKP dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.

Katanya di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus.

Namun, katanya pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau 8 peratus pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka.

“Manakala bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna kepada mereka pada April ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 4:39 PM