PROGRAM i-Lestari (KWSP) mencatatkan penerimaan baik sejak diluluskan di bawah Pelaksanaan Prihatin.
PROGRAM i-Lestari (KWSP) mencatatkan penerimaan baik sejak diluluskan di bawah Pelaksanaan Prihatin.

ORANG ramai dinasihatkan bertemu pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang disediakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan perancangan kewangan yang baik khususnya membabitkan simpanan persaraan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkhidmatan ini disediakan secara percuma bagi membolehkan perancangan simpanan dilakukan dan ia turut ditawarkan kepada orang ramai termasuk bukan ahli KWSP.

"Program i-Lestari (KWSP) mencatatkan penerimaan baik sejak diluluskan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

"Sehingga 13 Julai, sebanyak 4.43 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Julai adalah sebanyak RM5.37 bilion," katanya dalam laporan Laksana ke-13 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif pengeluaran kemudahan i-Lestari di bawah pakej Prihatin.

Di bawah inisiatif ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Ia diumumkan sebagai antara langkah menangani impak penularan Covid-19 dan dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

Sementara itu, setakat 13 Julai, jumlah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diagihkan adalah sebanyak RM11.06 bilion (peningkatan daripada RM10.92 bilion minggu lalu) yang membabitkan 10.4 juta penerima (peningkatan daripada 10.24 juta penerima daripada minggu lalu).

Bagi bayaran kepada kumpulan rayuan, ia membabitkan 160,000 pemohon yang lulus dengan peruntukan RM139 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:30 AM