GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


SELEPAS perkhidmatan gunting rambut dan salun dibenarkan beroperasi semula pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seorang tukang gunting rambut disyaki positif Covid-19.

Kes itu dikatakan berlaku di sebuah premis perniagaan di apartmen servis di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Perkara itu disahkan oleh pihak pengurusan bangunan menerusi satu notis makluman kepada penghuni yang turut tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, pekerja warga asing terbabit menjalani ujian swab di sebuah hospital swasta dan disahkan positif Covid-19.

Dia kemudian dirujuk ke hospital kerajaan untuk ujian kedua bagi mengesahkan status jangkitannya itu.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Andre Lai menerusi Facebook berkata, pihak pengurusan sudah melaksanakan proses sanitasi di semua lokasi awam di bangunan berkenaan.

Sin Chew Daily pula melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memaklumkan kes berhubung Covid-19 dalam sidang media hariannya petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 2:08 PM