MAYAT Muhammad Rasul dibawa anggota bomba dan penduduk setempat. FOTO ihsan bomba
MAYAT Muhammad Rasul dibawa anggota bomba dan penduduk setempat. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sampan ketika mencari kerang ditemui lemas di Muara Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, hari ini.

Mayat Muhammad Rasul Zailani, 23, ditemui 12.20 tengah hari kira-kira satu batu nautika dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh oleh sekumpulan nelayan yang turut membantu melakukan pencarian.

Ketua Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Muhd Raffanjani Rahim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 9.40 pagi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Seramai 12 pegawai dan anggota bomba dari Zon 7 dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Agensi lain yang terbabit dalam operasi SAR merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan persatuan nelayan setempat," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 2:40 PM