FARA Sharina (kanan) bersama pekerjanya menyediakan pelbagai jenis colek di kedainya di Lundang, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri.
FARA Sharina (kanan) bersama pekerjanya menyediakan pelbagai jenis colek di kedainya di Lundang, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail


RATA-RATA pengusaha kedai makan dan restoran terutama peniaga colek menjalankan perniagaan seperti biasa biarpun notis nasihat menghentikan perniagaan sementara sudah diedarkan sejak semalam.

Peniaga yang ditemui berpendapat, tindakan menasihatkan mereka menghentikan sementara perniagaan sukar dipatuhi kerana boleh menyebabkan kerugian.

Malah, mereka turut mempersoalkan mengapa hanya kedai makan dan restoran diminta berbuat demikian.

Tinjauan di sekitar Kota Bharu mendapati kedai makan dan restoran beroperasi seperti biasa dan peniaga tidak bersetuju dengan langkah menghentikan perniagaan bermula 8.30 malam hingga 10.30 malam.

Peniaga colek, Fara Sharina Zamari, 31, berkata, dia terkejut selepas menerima notis untuk menghentikan sementara perniagaan bermula 8.30 malam hingga 10 malam daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), semalam (Jumaat).

“Saya dan pekerja keliru dengan notis itu namun tetap meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Hari ini saya difahamkan notis itu adalah nasihat daripada kerajaan negeri yang meminta kerjasama peniaga untuk menghentikan sementara perniagaan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, langkah itu sukar dipatuhi kerana dilakukan secara mengejut tanpa mengambil kira kerugian kepada peniaga.

“Sepatutnya kerajaan negeri buat kajian dan mempertimbangkan maklum balas peniaga kesan daripada langkah itu jika ia dilaksanakan.

“Ia akan menjejaskan pendapatan peniaga kerana pada masa sama, kami perlu bayar kos sewa, bil utiliti dan gaji pekerja. Saya yakin ramai peniaga tidak akan bersetuju kerana perniagaan ini periuk nasi mereka,” katanya.

Seorang lagi peniaga colek, Wan Ahmad Ikhwan Wan Aznan, 25, berkata kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh masa ditetapkan.

“Inisiatif kerajaan ini bertujuan baik untuk menggalakkan masyarakat termasuk peniaga menunaikan solat tarawih di masjid, namun pada masa sama memberi kesan kepada peniaga dan pengguna.

“Bagaimanapun, sekiranya ingin diteruskan, saya cadangkan tempoh masa menghentikan operasi dari 8.30 malam hingga 9 malam kerana kebanyakan menunaikan solat tarawih lapan rakaat sahaja,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, notis diedarkan kepada peniaga supaya menghentikan sementara operasi perniagaan bermula 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini hanya berbentuk nasihat bukan arahan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, sekiranya peniaga memperoleh notis arahan diminta mengabaikannya dan merujuk notis baharu yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 11:08 PM