Suhailah Zulkifly (kanan sekali) ketika menunggu jenazah arwah neneknya, Allahyarhamah Sabariah Hassan, 74, dimandikan di kediaman neneknya di Kampung Londang, Masjid Tanah.
Suhailah Zulkifly (kanan sekali) ketika menunggu jenazah arwah neneknya, Allahyarhamah Sabariah Hassan, 74, dimandikan di kediaman neneknya di Kampung Londang, Masjid Tanah.
Hassan Omar

"ALHAMDULILLAH, arwah nenek pergi meninggalkan kami dalam keadaan amat tenang sejurus selepas qiamullail awal pagi tadi.

"Saya kehilangan guru al-Quran yang banyak membimbing semasa saya mula mengenal al-Quran pada zaman kanak-kanak dan dengan keberkatan ilmu yang dicurahkannya, dapatlah saya mendalami ilmu mengaji al-Quran apabila dewasa," kata Suhailah Zulkifly, 28.

Johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-60 pada 2018 itu berkata, dia reda dengan pemergian neneknya, Allahyarhamah Sabariah Hassan, 74.

Katanya, dia difahamkan oleh bapa saudaranya, Khairul Nizam Johar, 45, arwah neneknya menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.20 pagi, kira-kira setengah jam selepas menunaikan solat sunat malam di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Suhailah yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, Negeri Sembilan tiba di kampung berkenaan pada jam 7 pagi selepas dihubungi bapanya, Zulkifli Johar sejurus selepas arwah neneknya meninggal dunia.

Menurutnya, ketika belajar mengaji bersama arwah neneknya, dia sering diingatkan agar sentiasa membaca al-Quran dan jika terlalu sibuk sekali pun, cukuplah sekadar membaca satu atau dua halaman kitab suci berkenaan.

Sementara itu, adik Suhailah, Muhammad Fahmi, 22, yang juga pemenang tempat ketiga program Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima pada 2017 berkata, dia juga amat terasa kehilangan guru al-Quran yang amat sabar mengajarnya mengaji semasa kanak-kanak.

"Alhamdulillah, arwah nenek pergi dengan mudah dan semoga Allah mengampunkan dosa arwah serta mencucuri roh arwah dengan rahmat," katanya.

Menurutnya, selain sering mengingatkan anak cucunya supaya tidak mengabaikan ibadah solat fardu dan sunat, arwah neneknya juga tidak pernah lekang menasihati mereka agar menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang hayat.

"Arwah nenek menyatakan tiada sesiapa pun mampu menyelamatkan kita daripada panas terik matahari di Padang Mahsyar kelak kecuali al-Quran yang bakal memayungi sesiapa sahaja yang menjadikannya sebagai teman ketika hayat dikandung badan," katanya.

Sementara itu, Khairul Nizam berkata, sejurus selepas menunaikan solat sunat, arwah ibunya mengadu sakit dada dan mula mengalami sesak nafas.

"Saya dan isteri menyapu minyak angin dan mengurut belakang arwah bagi melegakannya dan dia dapat menarik nafas dengan sempurna dan hanya kira-kira setengah jam kemudian, arwah menarik nafas panjang sebelum terhenti.

"Kami reda dengan pemergian arwah yang meninggalkan kami dalam keadaan amat mudah dan tenang dan kami berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang diredai Allah," katanya.

Jenazah Sabariah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang kira-kira jam 11 pagi dengan talkin dibacakan oleh Muhammad Fahmi manakala doa dibacakan Imam 1 Masjid al Ehsan, Kampung Londang Mohd Nawawi Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:57 PM