Ciuman pilu Nabila buat Allahyarham neneknya, Fatimah Idris.
Ciuman pilu Nabila buat Allahyarham neneknya, Fatimah Idris.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Nabila Huda yang kehilangan nenek tercinta, Fatimah Idris, 91, berpeluang menguruskan jenazah arwah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara, hari ini.

Nabila yang mesra disapa Abil berkata, dia juga bersyukur apabila hasratnya untuk berbakti buat kali terakhir kepada arwah dimakbulkan Tuhan. 

"Ciuman terakhir untuk Tok Mah ku sayang. Dulu masa Abil kecil, Tok Mah selalu mandi dan siapkan Abil. 

"Hari ini Abil siapkan atok, pakaikan wangi-wangian dan solat jenazah untuk atok.  

"Tercapai hasrat Abil nak buat semua ini untuk kali terakhir. Tok Mah tunggu Abil di sana," katanya 

Menurut Abil, kehilangan seorang lagi nenek tercinta tahun ini adalah permulaan Ogos yang menyedihkan buat dirinya.

"Tahun lepas Abil kehilangan nenek kesayangan dan tahun ini kehilangan seorang lagi nenek kesayangan. Ini yang terakhir. Tak tahu bagaimana nak luahkan. Permulaan Ogos yang menyedihkan. 

"Tok Mah Abil adalah cikgu mengaji. Dari Abil kecil sampai besar bila balik, memang Tok Mah akan jerit suruh mengaji. 

"Abil adalah pelajar yang paling degil dan malas. Nak mengaji pun kena paksa sampailah Abil habis mengaji dengan Tok Mah. Dia buat majlis khatam al-Quran ketika itu. 

"Tak sangka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu, Abil kembali mengaji semula. Sepanjang Abil mengaji mesti teringat arwah sebab dulu degil nak mengaji, tapi sekarang rela hati nak mengaji," katanya. 

Tambah Abil, dia akui terbit rasa ralat apabila hasrat untuk menceritakan perubahan dalam dirinya yang kini rajin mengaji tidak kesampaian. 

Terdahulu bapa kepada Abil yang juga penyanyi legenda, Amy Search berkongsi berita duka di Instagram mengenai pemergian ibunya akibat sakit tua, pada  petang semalam. 

Arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah anak saudara di Kota Damansara pada jam 6 petang semalam dan selamat dikebumikan petang tadi. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 11:06 PM