Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Sejak kebelakangan ini, arwah suami semakin kerap mengaji al-Quran setiap kali selesai menunaikan solat fardu lima waktu serta sunat dan menjadikan kitab suci itu sebagai teman pendampingnya," kata Robiah Sulaiman, 72.

Robiah adalah isteri kepada Imam Tua Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, Mohd Zamai @ Suhaimi Ibrahim, 73, yang meninggal dunia selepas selesai membacakan khutbah dan solat Jumaat di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, petang semalam.

Robiah berkata, sudah menjadi rutin arwah suaminya untuk mengaji al-Quran malah dia juga sentiasa mengingatkan anak-anak agar menjadikan al-Quran sebagai amalan kerana ia dapat menerangi kubur apabila sudah meninggal dunia.

"Semalam sebelum arwah meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat sunat ba'diyah saya sempat menunaikan solat Subuh berjemaah bersama arwah di masjid dan kami mengaji bersama-sama setelah pulang ke rumah.

"Saya tidak menyangka itu adalah solat Subuh terakhir bersama arwah suami dan selepas selesai solat, kami pulang ke rumah dan mengaji al-Quran bersama-sama di beranda rumah.

"Saya akan sentiasa mengingati kenangan kami berdua iaitu mengaji bersama-sama dan menunaikan solat berjemaah di masjid," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai, di sini, hari ini.

ROBIAH menunjukkan gambar arwah suaminya, Mohd Zamai @ Suhaimi Ibrahim yang meninggal dunia selepas selesai membacakan khutbah dan solat Jumaat petang semalam ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROBIAH menunjukkan gambar arwah suaminya, Mohd Zamai @ Suhaimi Ibrahim yang meninggal dunia selepas selesai membacakan khutbah dan solat Jumaat petang semalam ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Menceritakan kembali detik yang memilukan itu, Robiah berkata, anak sulungya, Roshainizai Mohd Zamai, 48, meminta dia untuk ke masjid tanpa memberitahu keadaan sebenar suaminya pada ketika itu.

"Sebaik tiba di masjid, saya mendapati suami sudah meninggal dunia dan jantung ini seakan terhenti seketika kerana pemergian arwah dalam secara mengejut.

"Saya reda dengan pemergian arwah dan berharap kematiannya itu ialah husnul khotimah," katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, anak kelima arwah, Roshainizan Mohd Zamai, 39, berkata, walaupun arwah bapanya sudah meninggal dunia mereka 10 beradik akan tetap berasa seperti arwah masih ada dan sedang mengaji.

"Pesanan arwah ayah supaya menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup akan sentiasa tersemat di dalam hati dan pada September tahun lalu adalah hari keluarga terakhir di mana arwah bersama-sama dengan kami," katanya.

Katanya, pemergian arwah bapanya dicemburui dan hampir 2,000 orang yang turut sama menunaikan solat jenazah di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahligai.

"Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan dan selesai pada jam 10.30 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:08 PM