FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Roselan Ab Malek


Lipis: Pahang akan mempunyai enam balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu dengan tiga daripadanya sedang dibina, manakala tiga lagi yang sudah menerima kelulusan bakal dibina.

Menteri Besar Pahang, Datuk SeriWan Rosdy Wan Ismail berkata, enam BBP itu di Sungai Lembing (Kuantan), Goh Tong Jaya (Genting Highlands), Kuala Tahan (Jerantut), Chenor (Maran), Benta (Lipis) dan Gambang (Kuantan).

"Balai-balai (bomba dan penyelamat) ini dalam senarai kriteria terpenting di mana semuanya terletak di lokasi yang mempunyai keperluan mendesak.

"Maknanya jika berlaku sebarang bencana seperti kebakaran, kemalangan ... jadi kewujudan balai bomba di lokasi yang lebih dekat dapat membantu.

"Saya juga menyeru kepada pemimpin setempat dan orang ramai untuk melaporkan sekiranya ada berlaku kebakaran contohnya," katanya selepas merasmikan BBP Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam pada itu, beliau berkata, BBP Sungai Koyan yang mula beroperasi pada 2019 boleh dimanfaatkan oleh lebih 30,000 penduduk di kawasan sekitar.

"Di sini ada tiga komuniti iaitu masyarakat Orang Asli, peneroka di Felda Koyan 1, 2 dan 3 serta penduduk kampung tradisional.

"Balai bernilai kira-kira RM1 juta dengan jentera dan alat kelengkapan ini juga dapat dimanfaat penduduk di sempadan contohnya di Tersang yang turut boleh mendapat bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:12 PM