SEBAHAGIAN daripada ahli jawatankuasa yang menyertai program.
SEBAHAGIAN daripada ahli jawatankuasa yang menyertai program.
Fazurawati Che Lah

KUNJUNGAN siswazah Sarjana Sains Kaunseling dan Sains Koreksional dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (STBSB), Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan sedikit keceriaan kepada penghuni.

Program Membuka Jendela Remaja itu bertujuan untuk membantu keperibadian pesalah STBSB melalui sesi kaunseling dan aktiviti berkumpulan yang diuruskan 12 penuntut yang mengikuti program itu.

Penyelia Program, Dr C Saralah Devi Mariamdaram berkata, objektif utama program itu untuk memberikan pengetahuan dan bimbingan kepada remaja yang terbabit kegiatan jenayah supaya mereka berfungsi sebagai seorang yang berguna kepada masyarakat umum selepas mereka dibebaskan.

Beliau yang juga pensyarah kanan bagi kursus Teori dan Amalan Kaunseling Kelompok berkata, program itu mendidik mereka untuk membina sikap positif, membentuk peribadi kukuh dan melengkapkan diri dengan keterampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.

“Program ini dimulakan dengan aktiviti ‘ice breaking’ dengan tujuan menjadikan mereka selesa dengan persekitaran dan menjalinkan rasa kepercayaan kepada fasilitator untuk membimbing.

AKTIVITI yang dijalankan mendapat kerjasama penghuni.
AKTIVITI yang dijalankan mendapat kerjasama penghuni.

“Mereka dibahagikan kepada kumpulan kecil dan menjalani proses kesedaran dan pemulihan yang dibuat fasilitator berpandukan modul yang disediakan sendiri siswazah.

“Rata-rata peserta mengakui program ini bermanfaat kepada mereka di samping menjadi nilai tambah dalam diri supaya menjadi insan lebih baik selepas dibebaskan kelak,” katanya.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengetua STBSB, Muhammad Razmee Abd Razak.

Seramai 41 orang penghuni terdiri daripada umur seawal 13 sehingga 20 tahun mengikuti program itu dan mereka yang dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga dan kesalahan.

STBSB adalah institusi kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diluluskan bagi pendidikan, latihan dan penahanan mengikut Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001.

AKTIVITI berkumpulan untuk meningkatkan keyakinan penghuni.
AKTIVITI berkumpulan untuk meningkatkan keyakinan penghuni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:45 AM