Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa kereta berkenaan.
Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa kereta berkenaan.
Farah Suhaidah Othman


ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki bersama kereta Mercedes-Benz dipercayai digunakan untuk menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Gerik, Mohd Asri Mat Hassan berkata, serbuan dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Berapit, dekat Pengkalan Hulu, pada jam 8.10 pagi.

Katanya, tindakan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu petrol dan diesel bersubsidi menggunakan kenderaan berdaftar ke negara jiran.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan kereta terbabit di laluan masuk kompleks berkenaan yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Pemeriksaan juga mendapati tangki kereta berkenaan disyaki diubah suai untuk mengisi kuantiti minyak yang banyak. Malah, hasil soal siasat, dia mengaku membeli 200 liter RON95 di stesen minyak di Gerik untuk dijual ke negara jiran dengan harga yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri berkata, perbezaan harga antara Malaysia dan Thailand menjadi faktor utama berlaku penyeludupan barang kawalan berkenaan.

Katanya, pihaknya menyita kereta dan 200 liter bahan api itu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,440.

Beliau berkata, pemandu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual tanpa kebenaran, manakala bagi pengusaha stesen minyak yang menjual barang kawalan itu disiasat mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:18 PM