ANTARA peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga. FOTO NSTP
ANTARA peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ENAM peniaga 'cekik darah' dikompaun RM39,500 selepas gagal mempamerkan tanda harga dan menjual barang harga terkawal melebihi harga ditetapkan dalam operasi berasingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sekitar ibu kota, bermula 23 Mei lalu.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, tiga peruncit masing-masing dikompaun RM2,500 dalam operasi pada Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Wirawati, Kampung Pandan.

"Pada hari sama juga, seorang pemborong juga dikenakan tindakan kompaun RM25,000.

"Susulan itu, pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam, dua peniaga turut dikompaun atas kesalahan berbeza iaitu gagal meletakkan tanda harga pada barang jualan iaitu tomato serta menjual ayam melebihi harga terkawal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azeem berkata, semua individu terbabit diambil tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

"Kompaun yang tinggi akan dikenakan sekiranya gagal mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa dan ini menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya mempamerkan tanda harga dan tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuatkuasa," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 2,795 premis diperiksa bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa satu sehingga 25 Mei, dengan keseluruhan 34 kes.

"KPDNHEP akan terus menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sepanjang tempoh penguatkuasaan dan peniaga diingatkan supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 3:48 PM