Rantau Panjang: Sungai Golok di sini, yang semakin kering berikutan cuaca panas, cenderung menyempitkan sempadan antara Kelantan dan Thailand.

Pihak berkuasa menafikan keadaan itu memberi peluang kepada sindiket penyeludupan kerana pemantauan lebih ketat dilakukan bagi memastikan tiada yang bolos.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan Rusli Karim berkata, sejak awal Januari lalu, anggotanya mengadakan pemantauan lebih kerap dan setakat ini tidak melihat keadaan itu menguntungkan penyeludup.

“Sebenarnya ia lebih menyukarkan mereka kerana sungai sempit dan mereka terpaksa memunggah barang yang mahu diseludup ke tebing yang lebih jauh.

“Sudah pasti ia mengambil masa dan keadaan itu tidak menguntungkan mereka. Kita pun tak ambil mudah perkara ini, sebaliknya pemantauan dibuat sentiasa bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

“Penyeludupan dalam skala kecil juga kerap berlaku menyebabkan kami sentiasa mengawal ketat,” katanya.

Rusli juga berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya ada maklumat berkaitan penyeludupan.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih ditempatkan di pos kawalan sempadan dan bekerjasama dengan agensi pihak berkuasa lain.

“Pengawasan sempadan untuk mencegah penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) masih kita teruskan dan setakat ini keadaan terkawal.

“ATM menumpukan kepada kes penyeludupan berat, khususnya senjata api dan dadah. Kita bekerjasama dengan agensi lain dari segi perkongsian maklumat dan kawalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:07 AM