Tinjauan harga barang di Pasar Basah Kipmall. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Tinjauan harga barang di Pasar Basah Kipmall. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


HARGA ayam standard di bandar raya ini yang dijual mengikut Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) diumumkan kerajaan semalam, melegakan pengguna di sini.

Tinjauan di Pasar Basah Kipmall, Tampoi mendapati semua 10 peniaga ayam di situ, mematuhi harga maksimum ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan dijual pada harga RM7.50 sekilogram.

Ia berbanding harga ayam standard antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram yang dijual di beberapa pasar utama di sini sejak Selasa minggu lalu hingga semalam.

Peniaga daging juga dilihat mematuhi harga maksimum ditetapkan dengan daging tempatan dijual pada harga antara RM32 hingga RM34 sekilogram.

Suri rumah, Azlina Mat Rapor, 40, lega apabila harga ayam kini lebih murah berbanding minggu lalu.

"Saya beli dua ekor ayam setiap minggu untuk keluarga dan minggu lalu agak terbeban juga, namun tiada pilihan dan terpaksa beli juga kerana menjadi kegemaran anak.

"Alhamdulillah, minggu ini boleh beli ayam lebih sikit untuk persiapan Aidilfitri nanti," katanya

Sementara itu, peniaga ayam,Am Azizan,36, berharap jualan ayam segar akan meningkat beberapa hari sebelum Aidilfitri ini.

Katanya, kebanyakan peniaga ayam terjejas apabila jualan hasil ternakan segar berkenaan merudum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

"Kebiasaannya setiap kali Ramadan lebih 500 ekor ayam biasanya habis dibeli pelanggan setiap hari, namun kini hendak jual 150 ekor sehari pun susah dan tidak habis.

"Menjelang Aidilfitri pula selalunya permintaan meningkat dua kali ganda, namun jika melihat sambutan pembeli hari ini masih sangat perlahan, mungkin disebabkan kerajaan tidak membenarkan aktiviti ziarah, kunjung mengunjung dan rumah terbuka menyebabkan pelanggan tidak lagi membeli ayam dalam kuantiti banyak seperti tahun lalu.

"Kami peniaga ayam pun tidak berani membuat tempahan ayam segar banyak dari pemborong kali ini bagi mengelakkan menanggung kerugian jika ayam tidak terjual, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:01 PM