GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memutuskan tiada khidmat amil bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Sehubungan itu, Setiausahanya, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, MUIP menetapkan kaedah bayaran pada tahun ini adalah secara atas talian melalui laman sesawang ezakat.muip.gov.my.

Katanya, kemudahan pembayaran lain yang turut disediakan ialah melalui aplikasi PahangGo dan SnapNPay yang akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

“Kemudahan ini dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi mereka yang tiada kemudahan Internet untuk membuat bayaran secara atas talian dibolehkan memilih kaedah bayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) zakat fitrah Pahang 15888.

“Kaedah bayaran SMS ini adalah pilihan terakhir hanya kepada mereka yang tiada kemudahan membuat bayaran secara atas talian, tidak mempunyai anak atau saudara mara atau individu yang boleh membantu membuat bayaran serta tiada wakil untuk membayar zakat fitrah secara atas talian bagi pihak mereka.

“Melalui kaedah ini, MUIP akan mendahulukan bayaran bagi pihak pembayar dan pembayar membuat bayaran semula kepada majlis selepas berakhir tempoh PKP.

“Jika ditamatkan PKP di dalam bulan Ramadan, khidmat amil akan disediakan maka kaedah bayaran melalui 15888 ini tidak lagi disediakan.

“Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui zakat fitrah Pahang 15888 ini adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

“Kadar zakat fitrah di Pahang tahun ini masih kekal RM7 dan semua umat Islam di dalam negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah mereka bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Hairi berkata, sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sempena Ramadan yang diberkati tahun ini, umat Islam digalakkan menghidupkan bulan ini dengan amal ibadah dan patuh dengan apa-apa ketetapan pihak berkuasa selama tempoh PKP ini berkuat kuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:44 AM