GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri), Masjid Diraja dan Masjid Daerah bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bagaimanapun hanya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan imam saja yang dibenarkan iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang.

"JAIS masih mengekalkan untuk semua masjid dan surau tidak boleh mendirikan solat Jumaat seperti ketetapan awal jabatan menerusi surat bertarikh 16 April lalu.

"Namun, Sultan Sharafuddin berkenan selepas berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan JAIS.

"Selepas mendapat pandangan dari sudut hukum syarak, hanya AJK masjid dan imam saja yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebarang ketetapan mengenai perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri, bermula esok, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, solat lain secara berjemaah boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat esok, berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 8:38 PM