GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


KUCHING: Perkhidmatan bas di Sarawak dibenarkan beroperasi semula selepas 1 Jun depan.

Keputusan untuk membenarkan operasi perkhidmatan pengangkutan awam itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, justeru itu pengendali bas disarankan supaya membuat persiapan yang diperlukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sebelum meneruskan semula perkhidmatan.

"Ini termasuk membersihkan bas mereka, mengambil ujian swab untuk pemandu, menyusun semula susunan tempat duduk di dalam bas untuk tujuan penjarakan sosial.

"Pengendali perkhidmatan itu juga perlu menyediakan peralatan lain seperti alat pengesan suhu badan, pembersih tangan dan pelitup muka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Shin berkata, langkah-langkah itu perlu untuk melindungi semua orang terutamanya pemandu bas dan penumpang dalam usaha mencegah

penyebaran Covid-19.

Perkhidmatan bas henti-henti yang beroperasi di bandar dan pekan di Sarawak ditangguhkan sejak 22 Mac lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala perkhidmatan bas jarak jauh pula ditangguhkan pada 23 Mac.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 11:57 AM