ISTANA Negara. FOTO Aswadi Alias
ISTANA Negara. FOTO Aswadi Alias
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


KLUSTER Istana Negara antara kluster yang sudah tamat pengawasan dan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menamatkan kluster Istana Negara itu selepas tempoh pemantauan 28 hari tiada catatan kes baharu.

Beliau berkata, secara keseluruhan sejumlah 22 kes dicatatkan membabitkan kluster Istana Negara.

"Kluster Istana Negara tamat pemantauan dan pengawasan semalam. Kluster ini membabitkan jumlah 22 kes dan tiada kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula 25 Mac lalu, selepas tujuh petugas Istana Negara dikesan positif Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dipetik berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sudah menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga sudah menamatkan tempoh pemantauan dan pengawasan terhadap kluster Pengerang yang hari ini membabitkan 15 kes dan tiada kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 6:09 PM