Tan Sri Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Tan Sri Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 102 kluster penularan Covid-19 sudah diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah termasuk satu iaitu Kluster Telaga yang tamat hari ini.

Menurutnya, setiap kluster akan ditamatkan apabila tiada jangkitan selepas pemantauan dan pengawasan untuk tempoh 28 hari.

"Kluster Telaga yang diisytihar tamat hari ini adalah membabitkan kawasan Kota Setar, Padang Terap, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Pokok Sena di Kedah.

"Sejumlah 16 kes dilaporkan bagi Kluster Telaga yang membabitkan kesemuanya warganegara Malaysia dan tidak ada kematian dalam kluster ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian mengenai perkembangan terkini Covid-19 menerusi Facebook (FB) rasmi KKM hari ini.

Menurutnya, jumlah kumulatif adalah 150 kluster dan terdapat 48 kluster aktif setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini iaitu masing-masing satu di Sabah, Perak dan Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 7:58 PM