Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Rosyahaida Abdullah


TIGA kluster Covid-19 sudah ditamatkan tempoh pemantauan dan pengawasan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas 28 hari tiada rekod kes positif baharu dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu adalah Kluster Menara Plaza City One membabitkan 55 jumlah kes dan satu kematian.

"Kluster Flat PKNS membabitkan 37 kes dan satu kematian serta Kluster Petugas Kesihatan Sabah membabitkan 35 kes dan tiada kematian," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai laporan kluster Covid-19 yang aktif sehingga 27 Mei, Dr Noor Hisham berkata, ia juga membabitkan tiga kluster.

"Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam membabitkan pertambahan dua kes menjadikan 15 jumlah kes, Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil ada pertambahan satu kes menjadikan 282 jumlah kes dan Kluster Pudu ada pertambahan satu kes menjadikan 69 jumlah kes.

"Tiada pertambahan kes untuk 28 kluster lagi," katanya.

Untuk laporan di tiga DTI pula, beliau berkata, di DTI Bukit Jalil, jumlah sampel sudah diambil ialah 1,544 iaitu 1,421 daripadanya adalah Orang Kena Tahan (OKT) manakala 123 lagi kakitangan.

Menurutnya, jumlah kes yang positif adalah 282 membabitkan semua bukan warga Malaysia manakala jumlah kes negatif ialah 1,262

"DTI Semenyih, jumlah sampel sudah diambil ialah 1,758 iaitu 1,630 daripadanya adalah OKT manakala 128 adalah kakitangan.

"Jumlah kes yang positif adalah 66 termasuk membabitkan seorang kakitangan imigresen 65 lagi yang positif itu adalah warga asing.

"DTI Sepang jumlah sampel diambil ialah 1,450 iaitu 1,348 daripadanya adalah OKT manakala 102 adalah kakitangan. Jumlah positif 36 membabitkan semuanya bukan warga negara manakala jumlah kes negatif 1,414 dan tiada kes menunggu keputusan," katanya.

Bagi saringan dan ujian Covid-19 yang dijalankan untuk bukan warga negara pula, katanya, membabitkan 30,671 individu.

Menurutnya, jumlah kes yang positif warga asing ialah seramai 1,853 iaitu bersamaan dengan enam peratus.

"Seramai 753 bukan warga negara masih dirawat di hospital bersamaan 40.6 peratus dan seorang daripadanya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) bersamaan 0.13 peratus.

"Setakat ini empat kematian membabitkan warga asing atau bersamaan 0.2 peratus," katanya.

Menjelaskan kapasiti harian 45 makmal Covid-19 sehingga semalam, Dr Noor Hisham berkata, 21,437 ujian berjaya dilaksanakan bersamaan 77 peratus daripada kapasiti maksimum 27,667.

"Dimaklumkan juga, saringan dan ujian sehingga 26 Mei membabitkan kit ujian pantas (RTK) yang dijalankan adalah 3,133 sampel dan kes positif dikesan adalah 45 kes iaitu bersamaan dengan 1.4 peratus," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sampel ujian untuk pesakit sebelum pembedahan di hospital KKM adalah seramai 14,387 pesakit dan didapati 13 kes positif dikesan bersamaan 0.1 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:59 PM