ANGGOTA keselamatan yang terdiri daripada PDRM dan ATM berkawal di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya Old Town akibat virus Covid 19. FOTO Eizairi Shamsudin
ANGGOTA keselamatan yang terdiri daripada PDRM dan ATM berkawal di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya Old Town akibat virus Covid 19. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PASUKAN keselamatan memuji penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Jalan Othman yang menunjukkan disiplin dan kepatuhan tinggi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kadar pematuhan terhadap peraturan ditetapkan adalah 99 peratus.

"Mereka (penduduk) sangat berdisiplin, tidak keluar rumah dan mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh pasukan keselamatan.

"Saya memuji tindakan mereka ini kerana sekaligus dapat memudahkan proses saringan dan pendataan di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui.

Nik Ezanee berkata, setakat ini 2,150 penduduk termasuk 595 warga asing sudah melakukan ujian saringan Covid-19.

"Mereka juga sudah menerima keputusan masing-masing. Pihak polis kini sedang menunggu arahan selanjutnya berhubung PKPD ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan PKPD Pasar Jalan Othman di sini, mendapati penduduk mematuhi arahan dengan tinggal di kediaman masing-masing dengan kawalan dan rondaan terus dijalankan oleh anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (PDRM).

Selain itu, Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman turut membuat pemantauan di sekitar kawasan PKPD Pasar Jalan Othman dengan kekerapan pemantauan sejam sekali.

Terdahulu, pada 10 Mei lalu kawasan berkenaan diletakkan di bawah PKPD.

Dalam kenyataan media, Menteri Kanan Ismail Sabri dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan berkenaan.

Justeru, katanya, atas nasihat menteri kesihatan, kawasan itu diletakkan di bawah PKPD.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:37 PM