KPDNHEP Perak menyita 127 tong gas petroleum cecair (LPG) yang dikesan dijual tanpa lesen di dalam stor di sebuah premis di Simpang Pulai. FOTO ihsan KPDNHEP Perak
KPDNHEP Perak menyita 127 tong gas petroleum cecair (LPG) yang dikesan dijual tanpa lesen di dalam stor di sebuah premis di Simpang Pulai. FOTO ihsan KPDNHEP Perak
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita 127 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM12,000 apabila didapati dijual tanpa lesen, semalam.

Serbuan dilakukan pada 12 tengah hari di dalam stor sebuah premis yang beroperasi di Simpang Pulai dekat Ipoh, susulan risikan hasil maklumat awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, V Ravichandran berkata, ketika serbuan seorang lelaki berusia 44 tahun mengaku sebagai pemilik stor dan gagal mengemukakan lesen barang kawalan berjadual.

"Kita kemudian merampas 127 tong LPG bersubsidi pelbagai jenama dan hasil siasatan juga mengesan sebanyak 158 unit lagi LPG masih dalam proses penghantaran oleh pembekal.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas stor berkenaan didapati suspek memperolehi bekalan barang kawalan LPG daripada dua pembekal di bandar raya (Ipoh) ini," katanya.

Menurutnya, pemilik premis diarahkan membuat pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Selain itu, pembekal juga akan disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 1:46 PM