TONG LPG yang masih berisi di sebuah premis yang menyimpan barang kawalan di lokasi yang tidak dilesenkan di Taman Perindustrian Tasik Perdana, Puchong dirampas oleh penguat kuasa KPDNHEP. Foto KPDNHEP
TONG LPG yang masih berisi di sebuah premis yang menyimpan barang kawalan di lokasi yang tidak dilesenkan di Taman Perindustrian Tasik Perdana, Puchong dirampas oleh penguat kuasa KPDNHEP. Foto KPDNHEP
Hasbi Sidek


Puchong: Sengaja sorok tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi di lokasi tersorok. Itu tindakan individu yang disyaki mahu menyeleweng dan menjual semula gas berkenaan.

Tindakan itu bagaimanapun dibongkar sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor yang menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Tasik Perdana, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan yang bermula jam 9 malam itu, p ihak KPDNHEP merampas hampir 40 tong LPG berkapasiti 14 kilogram yang masih berisi dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM 604.40.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, serbuan dilakukan 16 pegawai penguat kuasa hasil risikan yang bermula sejak jam 2 petang di sekitar kawasan perindustrian berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi itu, kami menjumpai beberapa tong LPG yang masih berisi dan disimpan di tempat yang tidak dilesenkan.

“Pemilik premis hadir sewaktu pemeriksaan sedang dilakukan dan keterangan rakaman percakapannya diambil. Sitaan dibuat terhadap semua barang kawalan itu,” katanya.

Beliau berkata, LPG diisytiharkan sebagai barang kawalan mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Justeru tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai sitaan berjumlah RM 604.40. Barang sitaan dibawa ke Stor Penyimpanan KPDNHEP, Sri Muda, Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, urus niaga barang kawalan berjadual memerlukan lesen dikeluarkan Pengawal Bekalan.

Permohonan lesen barang kawalan berjadual terdiri daripada Lesen Mengilang Bagi Barang Kawalan Berjadual, Lesen Borong Bagi Barang Kawalan Berjadual dan Lesen Runcit Bagi Barang Kawalan Berjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 7:25 AM