KEADAAN rumah Alam Shah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Kajang, Batu Pahat, hari ini. Keluarga Alam Shah (gambar kecil). FOTO Essa Abu Yamim
KEADAAN rumah Alam Shah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Kajang, Batu Pahat, hari ini. Keluarga Alam Shah (gambar kecil). FOTO Essa Abu Yamim
Essa Abu Yamin

ENAM sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian di Kampung Sungai Kajang, Batu Pahat, hari ini.

Kejadian berlaku pada 10.30 pagi ketika Alam Shah Mohd Aripin, 41, bersama isteri, Suzi Khamis, 31, serta tiga anak berusia dua hingga 13 tahun keluar ke pasar untuk membeli keperluan harian.

Alam Shah yang mencari rezeki dengan menjual umpan, berkata dia menerima panggilan daripada ahli keluarga yang tinggal berdekatan memaklumkan rumahnya terbakar.

Katanya, adik iparnya sempat menyelamatkan seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun yang sedang tidur di ruang tamu sebelum api memusnahkan hampir keseluruhan kediaman itu.

"Lebih menyedihkan, semua kelengkapan persekolahan anak-anak yang baru dibeli termasuk buku teks untuk sesi persekolahan baru hangus terbakar.

"Sudahlah rumah yang menjadi tempat kami berteduh musnah, malah pakaian sekolah anak-anak juga hangus dan kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepingang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, dia sekeluarga menumpang sementara di rumah ibu mentuanya yang tinggal berdekatan dan berharap ada pihak sudi meringankan beban mereka atas musibah itu.

"Kebakaran menyebabkan kami sekeluarga kerugian kira-kira RM30,000 apabila rumah terbakar hampir 95 peratus bersama barangan elektrik, sebuah motosikal, duit simpanan serta beberapa dokumen penting," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.35 pagi sebelum tiba 19 minit kemudian.

“Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa lapan minit sebelum api berjaya dikawal. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:29 PM