Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rosyahaida Abdullah


"DEMI kelangsungan perniagaan serta pemain industri pelancongan lain, kami perlu dan akan kembali beroperasi Isnin ini," kata pemilik The Cabin Langkawi, Noor Azly Rosly.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai operasi penginapannya di Pulau Langkawi, Kedah susulan penularan jangkitan Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Menurut Noor Azly yang juga Timbalan Presiden Sektor Utara Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha), langkah itu diambil bagi menyuntik semula ekonomi khususnya pelancongan di pulau terbabit yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Jelasnya, biarpun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditetapkan kerajaan, keputusan itu dibuat selepas yakin mampu mematuhi semua SOP.

"Ini bukan keputusan saya sebaliknya sebulat suara bersama ahli Mybha dan Persatuan Operator Melayu Inapan Pulau Langkawi (POMIP) untuk kembali menerima tetamu di penginapan kami bermula Isnin ini.

"Dengan slogan Sila Datang Berehat di Pulau Langkawi Sempena Cuti Aidilfitri, kami mengalu-alukan rakyat Kedah untuk berehat, bukan bercuti ya, tetapi berehat di pulau lagenda ini pada cuti raya minggu depan dengan kadar istimewa ditawarkan untuk semua.

"Semoga inisiatif ini turut memberi kesan positif kepada operator pelancongan lain seperti pengusaha restoran dan sebagainya dalam menjana semula ekonomi masing-masing," katanya.

Noor Azly berkata, segala persiapan sudah dilakukan termasuklah mewujudkan halangan di sekitar kawasan penginapan supaya hanya ada satu laluan keluar masuk.

"Kami juga akan memeriksa suhu setiap tetamu setiap kali mereka masuk ke kawasan penginapan selepas pulang dari makan malam misalnya malah hanya seorang tetamu dibenarkan ke kaunter untuk urusan pendaftaran masuk bilik.

"Setiap kali tetamu daftar keluar, bilik itu juga bukan setakat dibersihkan seperti biasa malah dilakukan proses nyah cemar bagi memastikan keselamatan buat tetamu seterusnya.

"Saya kira dengan kawalan masuk ke Pulau Langkawi yang kini hanya melalui jeti disertai beberapa pemeriksaan suhu sebelum tetamu tiba di premis diharap dapat memberi keyakinan kepada tetamu dan pelancong," katanya.

Sementara itu, pemilik Time Capsule Retreat di Sungai Lembing, Pahang, Tan Siew Lan memutuskan untuk menutup perkhidmatan penginapannya itu selagi PKP tidak ditamatkan.

Mengakui sukar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, beliau kini memberi tumpuan kepada perniagaan lain bersama keluarga untuk kelangsungan.

"Sebelum PKP, kami masih menerima tetamu dengan agak konsisten terutama pada hujung minggu walaupun krisis Covid-19 sudah bermula, disebabkan majoriti tetamu kami adalah pelancong tempatan.

"Bermula 18 Mac lalu, kami tutup Time Capsule Retreat dan tidak bercadang untuk buka dalam waktu terdekat kerana tidak mahu ambil risiko bukan hanya dalam kalangan tetamu malah diri kami sendiri.

"Jika PKP dilanjutkan sekalipun, kami akur untuk terus tutup kerana isu kesihatan mungkin menjadi keutamaan kami buat masa ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 6:57 PM