NANCY ketika Persidangan Dewan Negara di Parlimen. FOTO Bernama
NANCY ketika Persidangan Dewan Negara di Parlimen. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mencadangkan pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi membabitkan pelancong asing dari negara tertentu.

Ini berdasarkan kejayaan hampir 90,000 pelancong tempatan direkodkan mengunjungi Pulau Langkawi dalam tempoh 27 hari pertama pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik di destinasi percutian itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan sejumlah 85,921 pengunjung dari luar Kedah direkodkan mengembara ke Pulau Langkawi sejak projek gelembung pelancongan bermula pada 16 September lalu.

"Setakat 12 Oktober (Selasa) lalu, lebih 58,000 pengunjung tiba melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala lebih 27,000 pengunjung lagi tiba di Langkawi melalui pintu masuk laut.

"Kehadiran pelancong ini semestinya memberi kesan domino kepada industri penerbangan, feri dan juga premis penginapan pelancong," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Ahmad Yahya yang bertanya sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi selepas dibuka semula pada 16 September lalu, serta masalah berbangkit yang dikesan.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), sejumlah kadar purata penginapan di premis ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama, menunjukkan 45 peratus adalah premis bertaraf empat hingga lima bintang, dan 21 peratus bagi premis bertaraf tiga bintang ke bawah.

"Bagi tempoh sama, Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) melaporkan kadar purata penginapan bagi premis penginapan pelancong ahlinya adalah 15 peratus," katanya,

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai sama ada kerajaan akan membuka pintu masuk negara untuk pelancong asing, khususnya dari negara ASEAN selaras kejayaan projek gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Nancy memaklumkan ia sudah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

"Saya baru mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat MKN. Saya cadangkan dibuka kepada beberapa negara untuk ke Pulau Langkawi dahulu, untuk projek rintis.

"Jadi, kita tunggu pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) . Kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar dan mengharapkan lebih ramai akan datang kerana ini antara cara untuk kembangkan ekonomi," katanya.

Berhubung soalan tambahan Senator Aknan Ehtook yang bertanya perkara yang dipelajari daripada projek rintis Langkawi, Nancy berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang Covidd-19 amat penting bagi menjayakan gelembung pelancongan.

"Untuk Langkawi kekal sebagai gelembung dan diikuti pulau serta destinasi lain, pengunjung perlu patuhi SOP dan kekal menggunakan pelitup muka, pensanitasi tangan dan menjaga jarak fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 12:19 PM